Pages

Thursday, June 16, 2011

Terima Kasih Bapa


Dia
Bagaikan seorang wira
Berjuang mempertahan negara
Berjuang demi bangsa
Berjuang menegakkan jiwa

Dia
Bagaikan seorang pemimpin negara
Mencari akal memajukan negara
Mencari ikhtiar untuk rakyatnya
Agar dapat kehidupan lebih selesa

Dia
Bagaikan seorang yang cekal jiwa
Tidak pernah menitis air matanya
Tidak pernah mengenal putus asa
Terus berjuang untuk anak-anaknya

Dia
Seorang lelaki digelar bapa
Membanting tulang demi keluarga
Memerah keringat hingga tiada
Untuk melihat keluarganya gembira

Bapa
Anakmu kini sedang meningkat dewasa
Anakmu kini sedang mempelajari ilmu dunia
Anakmu ini ingin mula bekerja
Membantumu menjaga keluarga
Menolongmu mencari rezeki jua
Kenapa tidak kamu izinkan diriku kerja

Bapa
Walau bertikam lidah sering berlaku antara kita
Walau ada sahaja yang tidak kena
Ketahuilah, anakmu begitu menyayangimu bapa
Yang tidak dapat aku luahkan kata-kata
Kerna mungkin ego kita penghalangnya
Atau mungkin belum bersedia

Bapa
Tidak pernah ku dengar dirimu mengeluh kecewa
Tidak pernah ku lihat dirimu bermuram sahaja
Walau apa yang berlaku, dirimu tersenyum sahaja
Sambil berkata,"Ilmu yang akan membantu kita"
Dari kini atau selamanya

Bapa
Hari ini ku ungkapkan Selamat Hari Bapa
Terima kasih padamu jua
Yang membantu aku tika aku kecewa
Yang menguatkan aku tika aku putus asa
Yang menghulurkan bantuan tika aku perlukannya

Bapa
Tiada apa yang mampu anakmu berikan
Selain terima kasih sebagai ungkapan
Yang mengiringi tangisan
Atas segala pengorbanan
Atas segala perjuangan
Atas segala keprihatinan
Atas segala ketenangan
Dengan semua keistimewaan

Terima Kasih Bapa

No comments:

Post a Comment