Pages

Sunday, December 30, 2012

Pengakhiran Tahun 2012

Setahun belalu lagi kini, tercapaikah apa yang telah kita impi? Terlaksanakah semua yang dicari? Persoalannya, adakah kita akan teruskan perjuangan ini? Bersediakah kita dengan setahun yang akan menanti? Mari kita lihat dari pelbagai perspektif masa kini, kita ungkaikan segala yang terjadi agar menjadi pengajaran suatu masa nanti.

Tahun 2012 akan melabuhkan tirainya, banyak suka duka yang bermain dan bertakhta. Namun hidup ini kita perlu teruskan juga, kekuatan perlu dicari semula dan kita perlu percaya yang terjadi itu adalah yang terbaik buat kita. Dan kita perlu bersedia dengan pelbagai cara bagi mengatasi halangan pada masa akan datang pula.

Pengakhiran tahun 2012 maka akan bermulalah tahun baru yang membuka pintu rezeki kita pada jalan yang lebih terbuka. Jangan dikenang kenangan lalu sebagai kegagalan diri
dan terus merasa kecewa, sebaliknya kuatkanlah diri untuk kembali berdiri dari rebah dan pulihkan luka yang tercedera. Kekuatan diri tidak akan hadir dengan mengalah atau rasa putus asa, ia juga tidak hadir jika kita terus mencari kesalahan insan lain di sekeliling kita. Kekuatan diri ini perlu dibina semula dari jiwa, rakan-rakan akan membantu kita selagi kita punya daya usaha. Jangan mengalah dan teruslah berusaha kerana kita tidak kan tahu dimana kejayaan itu berada.

Pertelingkahan antara teman sekerja adalah perkara biasa dan akan buat kita lebih waspada, kenali siapa sekeliling kita. Perhatikan dulu dan bersabar untuk menerima pendapat insan lain dan gunakanlah pandangan itu dengan minda yang lebih positif untuk memperbaiki diri kita sendiri. Pertelingkahan itu juga akan mematangkan kita dan teman sekerja dan mengeratkan silaturrahim yang sedia terbina kerana kita mengetahui segala kekurangan diri dan bersedialah untuk memperbaikinya untuk keharmonian di tempat kerja.

Rasa dijiwa juga akan bertambah seiring dengan usia kerna penyatuan antara dua jiwa itu bukannya dusta. Gelak ketawa dan kebahagiaan yang dirasai akan terus cuba dikekalkan hingga akhir nanti supaya hubungan yang dibina ini diberkati dan direstui. Dalam kita mengenali dan cuma melengkapi antara satu sama lain, akan ada rasa tidak puas hati yang lahir dari hati, jangan sembunyikan rasa itu sebaliknya berkongsilah bersama kerana ia akan membersihkan suasana itu dan mengelakkan rasa itu berubah menjadi benci dan diungkitkan suatu hari nanti.

Penutupan tahun ini biarlah ianya berakhir dengan senyuman dan kegembiraan, biarlah kita meninggalkan tahun 2012 dengan seribu makna istimewa tersemat di jiwa. Akhir kata selamat menanti kedatangan tahun 2013 dan hadapilah ia dengan pintu hati yang terbuka dan jiwa yang kental dan semangat yang waja....

Wassalam....

Saturday, December 29, 2012

Perjuangan Belum Selesai


Hidup ada jatuh bangunnya, kadang kita dibawah, sekejap diatas. Ia bagaikan roda terus berpusing hingga tiba satu saat nanti, ia akan berhenti dan tidak bergerak lagi. Tapi, selagi tidak berhenti, kita sebagai manusia perlu terus berusaha. Jangan ada sikap putus asa dan tidak mahu mencuba kerna dari kegagalan hidup kita akan menemui jalan kejayaan. Banyak yang akan kita pelajari sepanjang hidup ini andai terus melangkah kaki.

Langkahan ini tidak perlu berhenti kerana duri, kerna onak dan ranjau memang senantiasa menanti untuk menikam dan membadai diri. Kita perlu terus berdiri, terus melangkahkan kaki dan dalam masa yang sama berhati-hati. Tidak kisah jika mahu berlari, namun kuatkan dulu jati diri. Kukuhkan dulu pekerti agar setiap serangan mampu dihadapi.

Perjuangan ini belum selesai selagi nyawa masih didada. Andai kita tercedera, selagi tidak parah bangunlah semula. Tenangkan semula minda, lapangkanlah jiwa. Harunginya dengan redha. Mungkin akan patah semangat kita, mungkin akan ada mengalir airmata, dan kita mungkin juga kan kecewa. Namun pelajarilah ia dengan minda terbuka, kembali mencari sinar cahaya. Berjuang ke arah jaya.

Andai tewas berundurlah seketika, medan itu bukan lagi tahap kita. Namun bersiap sedialah untuk kembali mencuba, kerna perjuangan ini belum selesai sepenuhnya. Tika itu bersedialah dengan apa yang ada, biarkan pengalaman lalu membuka mata kita. Mulakanlah kembali langkah dengan cara yang berbeza tapi tetapkan pendirian yang sama. Agar menjadi sang juara.

Perjuangan hanya akan tamat bila kita sendiri mengangkat bendera. Perjuangan akan tamat bila kita mula merasa selesa dan sudah tidak mahu meneruskan usaha. Benar, kita harus bersyukur dengan apa yang ada. Tapi itu bukan alasan untuk kita berhenti dan tidak meneruskan daya. Sebenarnya ia atas diri kita untuk mahu meletakkan kita dimana, sama ada menjadi juara atau yang kedua.

Kisah perjuangan belum selesai ini, ingin terus menjadi pemangkin diri. Bukan sahaja untuk santapan rohani, tapi juga mengingatkan diri. Agar diri ini mengetahui dan ada semangat mencuba lagi. Agar diri ini tidak selesa disini dan ingin menggapai langit yang lebih tinggi.

Perjuangan belum selesai,
"Terus berjuang dan berserah, langit pastinya kan berubah"

AirMata

AirMata
Akan jatuh andai kecewa
Akan menitis andai terhiris jiwa
Akan mengalir dikala parut lama terbuka
Dan membuat serba tidak kena

AirMata
Ianya tidak boleh diduga
Menitisnya sebagai satu tanda
Antara gembira atau derita
Antara suka dan nestapa

AirMata
Dari kanak-kanak hingga dewasa
Ia tidak pernah kenal usia
Namun andai ia turun kerna suatu peristiwa
Pasti hari itu kan terus tersemat di jiwa

AirMata
Kan terus dilarikan masa
Bagi meneruni setiap peristiwa
Antara sedar atau tidak kita
Ianya akan buatkan kita berwaspada

AirMata
Tika ini teringat aku suatu masa
Dikala kenangan lalu menggamit minda
Dikala dirimu masih lagi bersama
Dan kita terus bermadah pujangga

AirMata
Ia terus menjadi pengajaran berguna
Bagai serik akan suatu nama
Bagai tidak lagi berdaya bangun semula
Lalu ku bulatkan tekad terus mara
Kerna tiada erti putus asa
Dalam meniti perjuangan disini mahupun sana

Senyuman

Senyuman
Dari situ lahirnya perkenalan
Dari situ mulanya teguran
Kerna tidak mengenal insan
Maka dilakukan dengan perbuatan

Senyuman
Seikhlas mungkin cuba dilebarkan
Agar kita mendapat keberkatan
Dan terus dipertemukan
Dalam ukhwah perikatan

Senyuman
Dengannya lahir suatu kebahagiaan
Dengannya menghilangkan penderitaan
Dengannya menggamit suasana kegembiraan
Dengannya menguatkan ukhwah perhubungan

Senyuman
Walau hanya sedikit dari insan
Tapi bisa gegarkan perasaan
Menukar tangisan kepada kekuatan
Dan melahirkan ketabahan

Senyuman
Dari kita sesama insan
Agar membina satu ikatan
Agar kita bergerak seiringan
Dan menongkah segala arus dihadapan

Senyuman
Teruskanlah kita lakukan
Biar sedikit asal berterusan
Teruskan kita hingga akhir kehidupan
Kerna akan membawa keberkatan

Saturday, December 22, 2012

Kita dipertemukan semula

Sedalam mana kita jatuh
walau kita terpisah jauh
andai ianya dikatakan jodoh
pasti bertemu dan kembali heboh

tiada kata mampu diucapkan
bila dirimu berada didepan
teringat ku semula pada senyuman
yang dulunya dalam igauan


dirimu tidak banyak perubahan
seperti insan yang pernah menjalin hubungan
tiada kata selain coretan
dapat menggambar suatu kegembiraan

walaupun dirimu kembali dengan berteman
ku bahagia melihat dirimu menggapai kebahgiaan
kerna kita pernah berjanji teruskan kehidupan
dan bersaksi pada paksi kejayaan

ada juga dalam kenangan
yang kita kembali bualkan
lalu diselit senda gurauan
buatkan tersenyum memerhatikan

Berbual denganmu kembali ku singkapkan
Erti kata diri dan kehidupan
Banyak benar pengajaran dan pedoman
semasa kita dalam satu jalan

kini kita masing punya haluan
tapi dirimu tetap menjadi teman
yang terus memberi sokongan
untuk aku berusaha ke arah kejayaan

ku bersyukur dirimu hadir sebagai kawan
dikala aku sedang dalam kegelapan
terima kasih dariku atas bimbingan
moga terus menongkah arus kecemerlangan

Friday, December 21, 2012

PENAKU

hidup sudah haru
kerna sedang merindu
wahai dikau idaman qalbu
tanpamu ku berbulu

hilang mu entah dimana
tiada pengganti paling bermakna
ku mencari sini dan sana
dimana dapat kembali kita bersua

tiada lagi linangan cerita
tiada lagi garisan dibina
tiada lagi kata-kata sukma
dari mu yang sungguh istimewa

hilangmu terus ku cari
dari dalam hingga ke tepi
sudah ku lihat kanan dan kiri
namun tiada jua menampakkan diri

bukan ku tidak mahu teman pengganti
tapi pasti tidak sama lagi
bagaimana nanti jika dirimu kembali
dan mengetahui ku sudah ada pengganti

aku cuma mampu pasrah
aku redha dalam berserah
tiadamu lukaku berdarah
namun jatuhku tak mungkin rebah

aku cuba untuk berdikari
tanpamu ku cuba gunakan teknologi
walaupun aku kaku lagi
namun usaha itu azimat pasti

aku tak mampu berkata apa
walau jiwaku pasti derita
walau dalam ini masih terluka
tapi ku cuba lupakan sengsara

Dengan pena ku tulis sebelumnya
kini teknologi pemangkin segala
namun aku masih ada rasa selesa
menulis dari menaip di komputer riba

hidup ku teruskan jua
teknologi ini cuba ku guna
walau kekok akan ku usaha
demimu pemangkin impian bersama

PMR Medan Permulaan Bukan Pengakhiran



Salam kehidupan,

Hari ini masih ramai berkata-kata tentang keputusan PMR yang baru diumumkan. Ramai bercerita tentang kejayaan yang diimpikan telah dilaksanakan dengan cemerlang. Ada juga ibu bapa yang terkejut atas kejayaan anak-anak mereka yang mampu membuat keluarga bangga. Tahniah atas keputusan itu adik-adik dan teruskanlah untuk mencipta kejayaan kerana kejayaan kita bukan sahaja menggembirakan diri kita akan tetapi ibu bapa kita yang telah banyak bekorban untuk pelajaran kita. Tiada hadiah paling bermakna buat ibu dan bapa selain melihat kecemerlangan anak mereka di medan ilmu mahupun medan pekerjaan.

Namun disebalik kejayaan yang cemerlang itu ada juga adik-adik yang kecewa, terluka, gagal dalam peperiksaan itu. Buat adik, satu pesanan dari abang. "baik gagal sekarang dan perbaiki diri untuk menjadi lebih baik". Banyak yang adik mampu belajar dari kegagalan sebenarnya, abang juga turut belajar dari kegagalan kerana kegagalan banyak mengajar kita dalam setiap persepsi untuk memperbaiki diri...

Sebagai contoh:-

Pertama, kegagalan membuatkan diri kita cekal. Kerana kita telah kecewa dan pastinya mahu berusaha semula untuk meraih kejayaan. Siapa tidak impikan kejayaan adik-adik tapi ketahuilah kejayaan tak kan datang mudah jika usaha kita begitu rendah.

Kedua, dari kegagalan kita tahu tahap diri. Kerana dari mengetahui tahap diri kita sendiri kita akan terus berusaha membetulkan diri dan akan mencabar diri bagi melepasi tahap itu. Kita kena tahu tahap atau limit itu hadir untuk kita lepasi bukan untuk tunduk meratapi.


Ketiga, kegagalan mengajar erti keberanian. Kerana kita berani menerima kekecewaan. Kita dapat belajar dari bawah erti penderitaan, kesakitan dan bagaimana rasanya impian yang kita impikan tidak kesampaian. Tapi jangan sesekali kita berputus asa kerna ianya menamatkan segalanya

Keempat, kegagalan dapat menyusun kembali langkah. Kerana dari kegagalan kita dapat lihat disudut manakah yang ada salahnya, apakah strategi yang perlu diatur untuk kita teruskan. Adik perlu ingat dalam dua tahun SPM akan menjelma dan disitu perjuangan adik sebenarnya. Buktikan kegagalan lalu mematangkan adik menjadi seorang pelajar berwibawa.

Kelima, sikap kita. Dengan kegagalan kita akan mengubah sikap kita dalam melakukan sesuatu. Mungkin dari main-main tumpuan akan kita unjurkan dan perubahan sikap itu penting bukan sahaja dalam suasana pembelajaran tetapi juga untuk masa hadapan terutama bila kita di alam pekerjaan

Itu adalah lima contoh dari abang apa yang kita dapat pelajari dari sebuah perkataan yakni, "KEGAGALAN". Perkataan itu tidak kejam sebaliknya perkataan itu datang untuk memberi kita udara pembaharuan dan meneruskan perjuangan.

Bagi adik-adik yang berjaya, satu sahaja kata dari abang. Jangan berasa selesa atau bangga kerana kejayaan seterusnya pasti amat sukar dan teruskan tingkatkan usaha itu. Perasaan selesa atau bangga itu akan buatkan adik dibuai mimpi indah dan akhirnya terlupa yang ada lagi medan peperangan yang perlu adik harungi.

Akhir kata dari abang Selamat Berjuang dan ingatlah ibubapa kita dalam setiap perjuangan kerana mereka adalah satu sebab kita dapat memotivasikan diri...

"Usaha adalah perkara utama",
" Keputusan adalah yang kedua",
"Sikap kita jangan berputus asa",
" Kelak akan ada nikmatnya"

Saturday, December 15, 2012

Aku Bukan Mat Rempit (ABMR)


Aku bukan mat rempit
Naik motor tak reti menyelit
Takut juga kadang-kadang terhimpit
Mana tahu jatuh longkang atau parit

Aku bukan mat rempit
Naik motor tak nak sempit-sempit
Susah lagi nak selit
Nanti aku pula yang sakit

Aku bukan mat rempit
Bawa motor bukannya sulit
Pandu cermat - cermat sikit
Biar lambat asal tak ke langit

Aku bukan mat rempit
Naik motor nak kumpul duit
Bukan tak cemburu tengok kereta besar bukit
Tapi nak kumpul modal memang pahit

Aku bukan mat rempit
Nak bawa laju sambil menjerit
Hilang suara tekakku perit
Nanti aku juga yang sakit

Aku bukan mat rempit
Jalan biasa tak perlu race sengit
Kang salah hari aku terkepit
Silap hari bulan aku yang cirit

Hidup ini satu perlumbaan


Hidup ini bagai berlumba
Tak kisah naik motor atau kereta
Semua terus mengejar masa
Seperti ada yang meninggalkan mereka

Hidup ini bagai berlumba
Salah litar setiap masa
Ada yang jatuh mahupun cedera
Namun terus bangun meneruskan usaha

Hidup ini bagai berlumba
Tak kisah dimanapun berada
Manusia takkan puas dengan apa yang ada
Dan terus berlumba mengumpul harta

Hidup ini bagai berlumba
Pelajar berlumba mengumpul ilmu didada
Pekerja berlumba menjadi terbaik di pejabatnya
Peniaga berlumba untuk mengaut untung berjuta

Hidup ini bagai berlumba
Tiada yang mahu berhenti seketika
Walaupun untuk merehatkan minda
Kerna masa begitu cemburui kita

Hidup ini bagai berlumba
Namun ketahuilah setiap berlumba ada juara
Jangan hanya kita juara didunia
Namun tercorot disana

Hidup ini bagai berlumba
Kumpul harta biarlah bersederhana
Namun amalan berlipat ganda
Agar kebaikan dirasai hingga penghujungnya

Hidup ini bagai berlumba
Hari ini tewas, esok mungkin juara
Tiada yang dapat meramalkan masa
Hanya menempuh dengan apa yang ada

Hidup ini bagai berlumba
Wahai manusia kuatkan segala ilmu diminda
Cekalkan satu hati dan jiwa
Kukuhkan dirimu dari anasir durjana...

Kini Kembali



Tika itu
Tidak ku tahu apa terjadi
Tidak ku begitu mengerti
Kenapa blog tidak dapat dibuka lagi
Dan tidak mampu ku login kembali

Tika itu
Habis sudah semuanya
Ku rasa tertutup sudah pintu cerita
Kerna aku sebagai seorang pujangga
Yang seronok bermain karya

Tika itu
Kesusahan kembali ku rasa
Ku menulis kembali dengan pena
Dalam kertas ku tulis segala
Dan ku luahkan semua cerita dunia

Kini ku kembali
Setelah akhirnya ku boleh login lagi
Tidak ku berbuat apa untuk mengubahi
Cuma pasrah dengan apa yang terjadi
Dan kembali merindui

Kini ku kembali
Boleh ku terus bekarya disini
Bagi ku meneruskan cerita yang aku impi
Biar apapun yang lain fikiri
Asalkan aku tahu dan gembira sekali

Kini ku kembali
Yang pasti tiada cerita sensasi di blog ini
Tiada gosip-gosip panas disini
Hanya luahan dari seorang insan lelaki
Yang sedang memerhati dari setiap dimensi