Pages

Friday, November 28, 2014

Rindu Kenangan Semalam

Andai kambing mampu melompat
Katak pula memakai pelikat
Ingin ku cuba untuk memikat
Namun itu sudah terlambat

Andai tikus mampu berdiri
Rama-ram cuba berlari
Mungkin itu bukan rezeki
Untuk dirimu ku jadikan isteri

Tika ular sedang menari
Masuk lembu ke kandang biri
Kisah kita tak mungkin dilupai
Akan terus tersemat di memori

Lalu kerbau melintas jalan
Berhenti gajah memberi laluan
Tidak pernah ku rasa kehilangan
Kerna ku hidup dengan kenangan

Jatuhnya singa di padang bola
Melihat kenari bermain mata
Ku masih punya teman setia
Yang berkongsi suka dan duka

Tertembak harimau oleh pemburu
Berhenti tupai menghisap candu
Tipulah jika aku tidak rindu
Namun itu semua pengalaman lalu

Duduk keldai diatas riba
Kijang berlari keliling dunia
Hadirmu kini membawa ceria
Mengubati jiwa yang dulunya terluka

Terloncat harimau dalam lena
Mengejut beruk di atas sana
Ku berdoa agar hubungan ini kekal selamanya
Dan kita akan bahagia bersama
_______________________________

Saturday, September 6, 2014

Dia....


Dia
Bukannya yang pertama
Bukannya tercantik didunia
Namun tersangat istimewa
Lalu ku buka hati agar dia bertakhta

Dia
Di awal kenalan ku tidak menyangka
Matang dirinya tidak ku duga
Diselit dengan sikapnya yang manja
Buatkan jiwa ini kembali terbuka

Dia
Punya anugerah dari Yang Esa
Jelingan mata yang mempersona
Tutur kata tersusun rapi jua
Tidak dapat ku zahirkan dengan lidah bicara

Dia
Buat diriku sungguh istimewa
Walau jarak memisahkan kita
Tabah dirinya tiada putus asa
Kadang buatkan diriku kagum jua

Dia
Walau 7 tahun beza usia
Sedikit pun tidak ku rasa demikian rupa
Ku berdoa agar hubungan ini hingga akhirnya
Dan dialah rusuk yang hilang tika ku lahir di dunia

Wednesday, July 23, 2014

Selamat Hari Raya Aidilfitri


Ramai kenalan alam maya
Ada terjumpa di highway juga
Ku cuba ukir satu seloka
Sempena Syawal yang kan kunjung tiba

Dari awal teringat keluarga
Kini Ramadhan di penghujung juga
Bandar mulai lengang jalannya
Kisah ramai dah pulang ke desa

Buat para pemandu berhati-hati
Ingatlah penumpang yang disayangi
Juga keluarga yang sedang menanti
Untuk berkumpul di hari raya nanti

Buat penunggang seperti aku
Jangan cilok tak payah nak laju
Kot nanti raya hanya ada batu
Petanda kita sudah disitu

Dengan seloka maaf ku pinta
Pada saudara saudari alam maya
Jika ada pernah terasa
Ku mohon diampuni 0-0 jua

Buat Highway rider nanti kita jumpa
Sapa yang balik nak ke utara
Semoga selamat dan diberkatiNya
Agar Syawal ini yang paling ceria

Buat rakan-rakan yang mengenali diri
Ku mohon agar kesalahan diampuni
Mana tahu ada gurauan yang menyakiti
Ada sindiran yang masuk ke sanubari

Habis idea seloka ku akhiri
Mohon ampun maaf ikhlas dari hati
Yang mengenali aku sebagai Along, Bob, SB ataupun Hafifi
Maafkanlah segala salah silap diriku ini...


Selamat Menyambut Aidilfitri Buat Semua Rakan-Rakan....

Sunday, July 20, 2014

MAS


MAS
Sungguh kuat dugaan mu kini
Hingga mengejutkan ramai pemerhati
Yang kita boleh anggap ianya tragedi
Dengan apa yang telah terjadi

MAS
Semua rakyat kini berduka
Kehilangan MH370 masih menjadi tanda tanya
Kini MH17 ditembak jatuh pula
Hingga mengorbankan semua nyawa

MAS
Walau apa pun yang terjadi
Penerbanganmu tetap pilihan hati
Dari dulu hingga kini
Dikaulah kebanggaan pertiwi

MAS
Umpama layang-layang terputus tali
Akan ada yang mula menjarakkan diri
Saat kau jatuh bangunlah kembali
Seperti bangunmu tika krisis ekonomi

MAS
Teruskanlah kamu melangkah mara
Kerna kamu adalah pesawat negara
Aku akan terus menyokongmu juga
Kerna kenangan, budi dan jasa...

Saturday, July 19, 2014

Gaza


Gaza
Letupan kedengaran di sini sana
Bermandi darah tiada sudahnya
Kami kan terus berdoa
Agar bumi Gaza kan aman jua

Gaza
Anak watanmu penuh cita-cita
Ingin melihat bumimu merdeka
Dari kecil dilatih ilmu agama dan tentera
Agar menjadi pejuang negara

Gaza
Lancarnya roketmu mengejutkan dunia
Pertahanan Israel durjana tembus juga
Membuatkan rakyat mereka porak peranda
Berlari ketakutan menyelamatkan nyawa

Gaza
Tidak seperti pejuangmu yang terus mara
Tidak seperti anak kecilmu yang berhati waja
Israel ketakutan meminta belas ihsan dunia
Hingga rekaan cerita lagaknya mereka mangsa

Gaza
Teruskan perjuangan mencari kemerdekaan negara
Teruskan semangat juang memeranjatkan dunia
Agar dunia kan bersatu melihat dari sinar mata
Dan memberi kemerdekaan yang sudah lama kamu damba

Wednesday, May 28, 2014

Mencari Berkat

Naik motor jangan rapat
Pakai pula jangan ketat-ketat
Takut ada iman tergugat
Jembalang mula naik tongkat

Aku memang jiwang karat
Tulisanku sekadar buat-buat
Bukannya nak tunjuk hebat
Cuma nak semua beringat

Nanti ada mata ligat
Dari lelaki yang cukup sifat
Katanya depa tunjuk pusat
Rezeki datang pada yang berhajat

Tolonglah semua beringat
Takut nanti menyesal lambat
Ada isi disiat-siat
Dicampak merata tempat

Akhirat sudah dekat
Jangan duk tambah amalan jahat
Cubalah fikir walau sesaat
Bekal kita bawa dah cukup ka berat

Kot nanti ada tak selamat
Ada yang minta bagi lambat
Konon nak cukupkan semua syarat
Yang dah lama diperketat

Saturday, May 24, 2014

Untuk Apa ???


Untuk apa
Itu persoalan biasa
Akan ditanya rakan sebaya
Bila ada sesuatu yang ingin kita cuba
Keprihatinan mereka sungguh istimewa

Untuk apa
Seperti menjadi tradisi pula
Ditanya bagai kita pesalah dunia
Ditekan dengan peluru lidah bicara
Hingga kita membisu sahaja

Untuk apa
Di fikiran mereka seperti negatif sahaja
Memikirkan apa yang terjadi jika gagalnya kita
Tiada salah untuk mencuba
Selagi kita tidak berputus asa

Untuk apa
Aku pernah ditanya soalan serupa
Tika aku mengubah haluan kerja
Tika aku cuba membuka minda
Tika aku cuba melihat nun jauh disana

Untuk apa
Benar akan ada pro dan contra
Benar akan ada cacat dan cela
Tiada yang sempurna
Tiada juga yang kekal selamanya

Untuk apa
Persoalan ini sentiasa bermain di jiwa
Kadang terfikir mampukah aku terus mencuba
Mampukah aku terus kekal berusaha
Kerna aku juga manusia biasa

Untuk apa
Ku hanya harapkan sokongan semua
Agar langkah ini lebih bermaya
Dikala mungkin terasa bersendiri di dunia
Ku harap ada antara kalian yang menyapa

Untuk apa???

Wednesday, May 21, 2014

Panda oh Panda


Panda oh Panda
Kedatanganmu di bumi Malaysia
Disambut dengan pelbagai cerita
Macam ada sahaja tidak kena
Pada hati mata mereka

Panda oh Panda
Dikatakan nilaimu mencecah berjuta
Dihebohkan dari pemberita alam maya
Jika benar nilaimu setinggi itu juga
Kagum aku lalu ketawa

Panda oh Panda
Diimport dari luar negara
Untuk tatapan rakyat jelata
Rumahmu pula tidak kurang gahnya
Wang ditabur bagai tiada makna

Panda oh Panda
Kedatanganmu mungkin tidak kena masa
Disaat ramai bergelut untuk menyara
Kos sara hidup yang makin tinggi jua
Tidak kira di bandar mahupun desa

Panda oh Panda
Tiada salah dirimu ke Malaysia
Cuma caranya seperti tidak kena
Namun kedatanganmu tetap diterima
Walau hati memendam rasa

Panda oh Panda
Selamat datang ke Malaysia
Buatlah seperti di negaramu jua
Kerna layanan pada mu kelas pertama
Keselesaanmu kebahagiaan kami juga

Saturday, March 22, 2014

Kerinduan Ini

Hadirmu ke dalam diri
Dengan izin menerima sanubari
Di penghujung bulan Februari
Bermula cerita kisah ini

Tarikh itu kan terus ku ingati
Hari pertemuan dua hati
Dilafazkan penuh erti
Terima kasih membahagiakan diri

Kita masih dalam proses mengenali
Masih banyak perlu dipelajari
Harap kuatkan jati diri
Untuk sama-sama hadapi

Ku ukir puisi kerna rindu
Rindu akan segala telatahmu
Dalam jiwa kini ada kamu
Yang membuatku terus merinduimu

Kasih yang baru kita bina
Ku harap kekal selamanya
Biar masa lalu menjadi pedoman kita
Untuk harungi hidup ini bersama

Kerinduan ini tak dapat ku pendamkan
Kerna kasihku makin meninggi
Ku berdoa agar bahagia ini berkekalan
Kerna sayangku bukan lagi misteri

Terima kasih kerana menerima
Kekurangan diri ini seadanya
Harap kita kan melengkapi bersama
Dalam menempuh rintangan dunia

Ku jiwang karat atau mudah terasa
Namun tentangmu tetap diminda
Percayalah ku bukan pecinta wanita
Hanya dirimu yang bertakhta

Tidak ku berjanji bulan dan bintang
Tidak juga bersaksi kan matahari
Ku harap kita bersama susah dan senang
Dalam meniti kehidupan dan cabaran duniawi

Menyakat menembak sebahagian diriku
Comel pula pemberian padaku
Dalam tersenyum ku merindu
Jelingan manja usikan kamu

Semoga Berbahagia Ikhmal & Nadia



Hari ini hari bahagia
Buat sahabatku Dato' dan Dr di sana
Moga kekal ke anak cucu jua
Andai ditakdirkan ke syurga sana

Tiada hidup lebih gembira
Selain dapat hidup dengan si dia
Pada Ikhmal dan Nadia
Tahniah untuk kalian berdua

Warkah ini pengganti diri
Kerna tidak dapat menghadiri
Majlis kalian sebagai raja sehari
Kerna ada kerja ku disini

Tenang rasa melihat teruna
Hati teruja memandang kalian bahagia
Moga terus terpancar sinar di mata
Dan kalian tersenyum gembira

Akhirnya bermula langkah kedua
Percintaan kalian sekian lama
Tahniah dari aku dan keluarga
Atas penyatuan dua jiwa

Ukhwah terjalin kini sampai masa
Hari dinanti tiba jua
Kasih kalian ku harap kekal selamanya
Moga bahagia dan hingga akhirnya

Cinta terukir sekian lama
Kisah cinta dari zaman menengah jua
Terus mekar bak kelopak bunga
Terus matang seiring usia

Cinta kamu kini kan bersatu
Kasih yang dicurah kini melimpah
Akhirnya akan tiba juga waktu
Dengan perkataan keramat yakni "SAH"

Cinta yang telah bersemi
Kini terpatri seperti dijanji
Akhirnya ikatan suami & isteri
Menjadi bukti dan saksi

Kasih yang telah dibina
Atas impian mahligai cinta
Moga kalian bahagia
Di atas singgahsana

Hidup ini banyak dugaan
Tambah pula dalam perkahwinan
Moga kamu berdua terus ukir senyuman
Kerna senyuman kamu tiada tandingan

Tika mempelai sudah berseri
Senyuman tiada tandingan lagi
Buat Ikhmal dan Nadia kuatkan jati diri
Yakin boleh apa yang dipelajari

Tiada hadiah sebaik doa
Dapat ku kirim pada kamu berdua
Agar terus gembira dan bahagia
Dan lebih ceria senantiasa

Kasih yang suci dan murni
Akhirnya telah diberkati
Sungguh ianya istimewa sekali
Moga kalian senantiasa "happy"

Tiada kata mampu ku ucapkan
Pada kalian berdua di persandingan
Hanya butir-butir puisi tanpa segan
Yang mampu aku hadiahkan

Dari aku yang dirantau orang
Hanya ucapan pengganti badan
Harap kamu ceria riang
Dan bahagia sepanjang perjalanan

Maaf aku minta harap diizinkan
Kerna tak dapat bersama meraikan
Hari bahagia kamu sebagai rakan
Kerna masa tidak mengizinkan

Cukup ku rasa sampai disini
Tahniah dari ku bernama Hafifi
Tenangkan jiwa lapangkan sanubari
Itu saja dari aku, "SB"

Buat Ikhmal & Nadia aka Dato & Dr,

Semoga Bahagia hingga akhir hayat

Dari SB @ Hafifi.........

Friday, February 28, 2014

Hasrat Hati

Hasrat Hati



Kali pertama ku terpandang si dia
Bagai di panah jelingan manja
Ingin ku bersuara dan bertanya
Namun tiada kekuatan jua

Dari jauh ku hanya memerhati
Menyembunyikan hasrat ingin mengenali
Kerna takut parut terluka kembali
Kerna diri belum bersedia lagi

Hadirnya yang memulakan bicara
Aduh...sungguh manis senyuman darinya
Walau hanya sepatah dua dan seketika
Raut wajahnya terus bermain di minda

Tiba masa ku beranikan diri
Lalu salam perkenalan diriku beri
Agar kita lebih mengenali
Dan senyumannya dapat ku temu lagi

Aku terus memendam hasrat hati
Walau kini dirinya sudah lama ku kenali
Namun tidak pernah dirinya ketahui
Aku terus menerus menyimpan isi hati

Tujuh tahun berlalu begitu sahaja
Dirinya tidak ku ketahui sudahkah berpunya
Aku masih memendam rasa dalam jiwa
Kerna tiada kekuatan untuk mulakan bicara

Dirinya masih seperti dulu
Tiada berubah dan makin bertambah ayu
Aku pula senang perasaan ini hanya di qalbuku
Dan dirinya tidak tahu

Mungkin satu hari aku akan kecewa
Mungkin satu masa aku akan terluka
Kerna tidak meluahkan rasa
Kerna tidak berterus-terang sahaja

Bersahabat dengannya sudah cukup istimewa
Tiada lebih mampu ku minta
Aku akan terus berdoa
Agar dirinya kan bertemu bahagia jua...

Friday, January 24, 2014

Selamat Hari Lahir Sir Hadzli


Daun disiram air hujan
Begitu segar dipandangnya
Ku ukir dari bandar perantauan
Agar dipermudahkan segala hajatnya

Beli buah di Pasar Babat

Sofa mai dari Terengganu
Ku harap Sir terus sihat
Dan sentiasa sukses selalu.

Jalan di depan punya beralun

Peninggalan para cendiakawan jujur
Ku ucapkan Selamat Ulang Tahun
Semoga Sir Hadzli dipanjang umur

Terbuat dari apa itu bangku

Terbuatnya itu dari kayu
Kukatakan kepada pengajarku
”Happy birthday to U”

24 Januari dah lepas sehari,

Hari lahir Sir Hadzli, 
Usia meningkat satu lagi, 
Mari ucapkan syukur pada Illahi

Pejam celik pejam celik, 

Rambut putih tumbuh di kepala, 
Tak payah nak wat muka pelik
Sir masih maintain bergaya

Tiada yang ajaib tiada rahsia

Bak kata sir "Double Stem Cell" pencetus segala
Hadiah dariku hanya seloka
Harap dapatlah diterima

Tiada yang istimewa sangat, 

Cuma idea mai duk wat ligat, 
Birthday kita orang ingat, 
Birthday orang takkan nak wat tak ingat.

SMS masuk bertubi-tubi

Di Facebook pun banyak notification lagi 
Maklumlah Sir Hadzli otai disegani
Mana boleh nak wat tak reti

Ramai duk bagi ucapan

Tak kurang yang duk belanja makan
Harapanku Sir teruskan perjuangan
Mengorak langkah maju ke depan

Kerja pun banyak tak siap lagi 

Eloklah saya mengundur diri
Terima kasih daun keladi 
Harap tak dak terguris di hati

Thursday, January 16, 2014

Kangkung Oh Kangkung

Kangkung
Namamu tiba-tiba gemilang
Diperkatakan setiap orang
Dulu tiada nak cerita sembang
Kini muncul dibawa arus gelombang 

Kangkung
Namamu dilonjak bukan kerna khasiat
Namamu dilaung bukan kerna zat
Tapi dek kerna satu ayat
Terbilang namamu membawa berkat

Kangkung
Bukan isu semasa jadi ukuran
Bukan juga mencari saingan
Dirimu bukan tidak diberi perhatian
Cuma dilafazkan kurang pemikiran

Kangkung
Hidupmu tumbuh subur tiada menanam
Sekali harga dikatakan turun menjunam
Sedang ada yang kutip di tepi kolam
Yang dulunya makan dibuat ulam

Kangkung
Mungkin namamu tidak lama diatas
Selepas ini akan kembali terbabas
Tapi percayalah ia sesuatu yang bernas
Kerna namamu melonjak mengalahkan emas

Kangkung
Sandiwara cerita kisah drama
Orang lama memutar bicara
Sedang kami kan terus terasa
Dalamnya luka terasa dihina

Kangkung
Bukan nak dicerita sombong
Tidak sesekali nak bagi terlopong
Namun gunalah fikiran bukan dalam tempurung
Kerna ada yang akan menanam jagung

Saturday, January 11, 2014

Nasib Kehijauan Bumi


Secara spontan aku berdiri
Mengenang nasib kehijauan bumi
Yang hilang tidak kan kembali
Pabila hutan habis diterokai

Demi pembangunan slogan diputarkan
Tumbanglah semua tidak dihiraukan
Bukit yang tinggi terus diratakan
Tiada erti belas kasihan

Hilanglah juga sebuah penempatan
Bagi si haiwan mula berkeliaran
Masuk ke kampung membuat rusuhan
Akhirnya kecundang dari bunyi tembakan

Pernahkah terfikir walau seketika
Kitalah sebenarnya sebagai punca
Pernahkah terbit rasa kecewa
Atau hitamnya jiwa kerana harta

Kita berkongsi satu kehidupan
Tidak kira manusia, haiwan atau tumbuhan
Takut nanti anak cucu tak kenal durian
Tidak merasai nikmat kesedapan

Riuh rendah kita berbicara
Mengenai panasnya bumi dikelilingi haba
Namun kurang yang membuat langkah pertama
Dengan menghijaukan bumi menanam semula

Aku sekadar meluahkan rasa
Pabila lihat insan begitu rakus meneroka
Kerna kita berkongsi semua
Walau sedikit tetap terluka

Terima Kasih