Pages

Saturday, December 29, 2012

Perjuangan Belum Selesai


Hidup ada jatuh bangunnya, kadang kita dibawah, sekejap diatas. Ia bagaikan roda terus berpusing hingga tiba satu saat nanti, ia akan berhenti dan tidak bergerak lagi. Tapi, selagi tidak berhenti, kita sebagai manusia perlu terus berusaha. Jangan ada sikap putus asa dan tidak mahu mencuba kerna dari kegagalan hidup kita akan menemui jalan kejayaan. Banyak yang akan kita pelajari sepanjang hidup ini andai terus melangkah kaki.

Langkahan ini tidak perlu berhenti kerana duri, kerna onak dan ranjau memang senantiasa menanti untuk menikam dan membadai diri. Kita perlu terus berdiri, terus melangkahkan kaki dan dalam masa yang sama berhati-hati. Tidak kisah jika mahu berlari, namun kuatkan dulu jati diri. Kukuhkan dulu pekerti agar setiap serangan mampu dihadapi.

Perjuangan ini belum selesai selagi nyawa masih didada. Andai kita tercedera, selagi tidak parah bangunlah semula. Tenangkan semula minda, lapangkanlah jiwa. Harunginya dengan redha. Mungkin akan patah semangat kita, mungkin akan ada mengalir airmata, dan kita mungkin juga kan kecewa. Namun pelajarilah ia dengan minda terbuka, kembali mencari sinar cahaya. Berjuang ke arah jaya.

Andai tewas berundurlah seketika, medan itu bukan lagi tahap kita. Namun bersiap sedialah untuk kembali mencuba, kerna perjuangan ini belum selesai sepenuhnya. Tika itu bersedialah dengan apa yang ada, biarkan pengalaman lalu membuka mata kita. Mulakanlah kembali langkah dengan cara yang berbeza tapi tetapkan pendirian yang sama. Agar menjadi sang juara.

Perjuangan hanya akan tamat bila kita sendiri mengangkat bendera. Perjuangan akan tamat bila kita mula merasa selesa dan sudah tidak mahu meneruskan usaha. Benar, kita harus bersyukur dengan apa yang ada. Tapi itu bukan alasan untuk kita berhenti dan tidak meneruskan daya. Sebenarnya ia atas diri kita untuk mahu meletakkan kita dimana, sama ada menjadi juara atau yang kedua.

Kisah perjuangan belum selesai ini, ingin terus menjadi pemangkin diri. Bukan sahaja untuk santapan rohani, tapi juga mengingatkan diri. Agar diri ini mengetahui dan ada semangat mencuba lagi. Agar diri ini tidak selesa disini dan ingin menggapai langit yang lebih tinggi.

Perjuangan belum selesai,
"Terus berjuang dan berserah, langit pastinya kan berubah"

No comments:

Post a Comment