Pages

Sunday, December 30, 2012

Pengakhiran Tahun 2012

Setahun belalu lagi kini, tercapaikah apa yang telah kita impi? Terlaksanakah semua yang dicari? Persoalannya, adakah kita akan teruskan perjuangan ini? Bersediakah kita dengan setahun yang akan menanti? Mari kita lihat dari pelbagai perspektif masa kini, kita ungkaikan segala yang terjadi agar menjadi pengajaran suatu masa nanti.

Tahun 2012 akan melabuhkan tirainya, banyak suka duka yang bermain dan bertakhta. Namun hidup ini kita perlu teruskan juga, kekuatan perlu dicari semula dan kita perlu percaya yang terjadi itu adalah yang terbaik buat kita. Dan kita perlu bersedia dengan pelbagai cara bagi mengatasi halangan pada masa akan datang pula.

Pengakhiran tahun 2012 maka akan bermulalah tahun baru yang membuka pintu rezeki kita pada jalan yang lebih terbuka. Jangan dikenang kenangan lalu sebagai kegagalan diri
dan terus merasa kecewa, sebaliknya kuatkanlah diri untuk kembali berdiri dari rebah dan pulihkan luka yang tercedera. Kekuatan diri tidak akan hadir dengan mengalah atau rasa putus asa, ia juga tidak hadir jika kita terus mencari kesalahan insan lain di sekeliling kita. Kekuatan diri ini perlu dibina semula dari jiwa, rakan-rakan akan membantu kita selagi kita punya daya usaha. Jangan mengalah dan teruslah berusaha kerana kita tidak kan tahu dimana kejayaan itu berada.

Pertelingkahan antara teman sekerja adalah perkara biasa dan akan buat kita lebih waspada, kenali siapa sekeliling kita. Perhatikan dulu dan bersabar untuk menerima pendapat insan lain dan gunakanlah pandangan itu dengan minda yang lebih positif untuk memperbaiki diri kita sendiri. Pertelingkahan itu juga akan mematangkan kita dan teman sekerja dan mengeratkan silaturrahim yang sedia terbina kerana kita mengetahui segala kekurangan diri dan bersedialah untuk memperbaikinya untuk keharmonian di tempat kerja.

Rasa dijiwa juga akan bertambah seiring dengan usia kerna penyatuan antara dua jiwa itu bukannya dusta. Gelak ketawa dan kebahagiaan yang dirasai akan terus cuba dikekalkan hingga akhir nanti supaya hubungan yang dibina ini diberkati dan direstui. Dalam kita mengenali dan cuma melengkapi antara satu sama lain, akan ada rasa tidak puas hati yang lahir dari hati, jangan sembunyikan rasa itu sebaliknya berkongsilah bersama kerana ia akan membersihkan suasana itu dan mengelakkan rasa itu berubah menjadi benci dan diungkitkan suatu hari nanti.

Penutupan tahun ini biarlah ianya berakhir dengan senyuman dan kegembiraan, biarlah kita meninggalkan tahun 2012 dengan seribu makna istimewa tersemat di jiwa. Akhir kata selamat menanti kedatangan tahun 2013 dan hadapilah ia dengan pintu hati yang terbuka dan jiwa yang kental dan semangat yang waja....

Wassalam....

No comments:

Post a Comment