Pages

Thursday, January 16, 2014

Kangkung Oh Kangkung

Kangkung
Namamu tiba-tiba gemilang
Diperkatakan setiap orang
Dulu tiada nak cerita sembang
Kini muncul dibawa arus gelombang 

Kangkung
Namamu dilonjak bukan kerna khasiat
Namamu dilaung bukan kerna zat
Tapi dek kerna satu ayat
Terbilang namamu membawa berkat

Kangkung
Bukan isu semasa jadi ukuran
Bukan juga mencari saingan
Dirimu bukan tidak diberi perhatian
Cuma dilafazkan kurang pemikiran

Kangkung
Hidupmu tumbuh subur tiada menanam
Sekali harga dikatakan turun menjunam
Sedang ada yang kutip di tepi kolam
Yang dulunya makan dibuat ulam

Kangkung
Mungkin namamu tidak lama diatas
Selepas ini akan kembali terbabas
Tapi percayalah ia sesuatu yang bernas
Kerna namamu melonjak mengalahkan emas

Kangkung
Sandiwara cerita kisah drama
Orang lama memutar bicara
Sedang kami kan terus terasa
Dalamnya luka terasa dihina

Kangkung
Bukan nak dicerita sombong
Tidak sesekali nak bagi terlopong
Namun gunalah fikiran bukan dalam tempurung
Kerna ada yang akan menanam jagung

Saturday, January 11, 2014

Nasib Kehijauan Bumi


Secara spontan aku berdiri
Mengenang nasib kehijauan bumi
Yang hilang tidak kan kembali
Pabila hutan habis diterokai

Demi pembangunan slogan diputarkan
Tumbanglah semua tidak dihiraukan
Bukit yang tinggi terus diratakan
Tiada erti belas kasihan

Hilanglah juga sebuah penempatan
Bagi si haiwan mula berkeliaran
Masuk ke kampung membuat rusuhan
Akhirnya kecundang dari bunyi tembakan

Pernahkah terfikir walau seketika
Kitalah sebenarnya sebagai punca
Pernahkah terbit rasa kecewa
Atau hitamnya jiwa kerana harta

Kita berkongsi satu kehidupan
Tidak kira manusia, haiwan atau tumbuhan
Takut nanti anak cucu tak kenal durian
Tidak merasai nikmat kesedapan

Riuh rendah kita berbicara
Mengenai panasnya bumi dikelilingi haba
Namun kurang yang membuat langkah pertama
Dengan menghijaukan bumi menanam semula

Aku sekadar meluahkan rasa
Pabila lihat insan begitu rakus meneroka
Kerna kita berkongsi semua
Walau sedikit tetap terluka

Terima Kasih


Saturday, December 7, 2013

Bila Jiwa Kacau

Setia itu bukan sekadar kata
Berhatilah bila janjikannya
Kerna nanti akan ada yang terluka
Dan pedihnya sangat terasa

Sayang bukan permainan manis bicara
Untuk menambat hati puteri lagenda
Ingatlah sebelum meluahkannya
Kerna kan ada yang salah mentafsirkannya

Sahabat berkongsi suka duka
Menyedarkan bila sedang terleka
Sama-sama mengiringi kita
Dalam menghadapi dugaan dunia

Kecewa itu perkara biasa
Dalam mencari erti bahagia
Namun jangan sesekali kita berputus asa
Kerna saat gembira akan tiba jua

Gagal bukan selamanya
Peganglah pada setiap usaha
Kerna akan ada balasan juga
Lambat atau cepat dibezakan hanya masa...

Banjir Yang Melanda


Banjir yang melanda
Pasti akan ada hikmahnya
Janganlah kita sesekali leka
Akan nikmat dunia sementara

Kuatkanlah semangat saudara
Ku mampu iringkan dengan doa
Agar ujian ini kan hadir penamatnya
Dan banjir ini surut semula

Benar berat memandang pada mata
Berat lagi yang menanggungnya
Namun janganlah sesekali bertanya kenapa
Percayalah akan hadir nikmat dariNya

Kuatkanlah minda saudara di sana
Agar tabah menghadapinya
Berikanlah mereka ketabahan jiwa
Dan menhadapi ia dengan redha

Saturday, November 30, 2013

Jiwang atau Seorang

Kambing hitam atas jalan
Berlalu itik wat hairan
Tak sempat ku ucap selamat jalan
Kau jauh pergi tinggalkan kenangan

Singa mengaum dalam hutan
Katak menyanyi memanggil hujan
Kerna diri masih sendirian
Ku singkap kembali sisa-sisa kenangan

Ayam berkokok di siang hari
Harimau diam sedang menanti
Kasihku bukan hanya sehari
Biarlah dibawa hingga ke mati

Lipas bersarang dalam perigi
Zirafah bermain aci sembunyi
Walau kenangan menyakitkan hati
Namun manisnya gagal dilupai

Jatuhnya gajah menimpa kereta
Bertempiaran lari semut semua
Pengalaman bersama masih di singgahsana
Cintamu tetap mekar di jiwa

Sedapnya keli dilatah sahaja
Diladang penuh kerbau bergembira
Janji bersama masih diminda
Kerna senyumanmu buatkanku ke istana

Tika arnab meloncat-loncat
Tidurnya cicak di kain pelikat
Walau diriku berjiwang karat
Puisi ku ukir kerna minat

Berlari kuda menangkis jerat
Monyet pula riang melompat
Aku bukannya cuba mengumpat
Hanya meluahkan rasa tersirat

Terbang burung sayapnya patah
Jatuh tupai tetap ke tanah
Sayangku tak mungkin berubah
Walau dirimu berpaling tadah

Tumbangnya pokok dilanggar badak
Unta berjalan jauh tak teragak
Minat dan idea mula bercambak
Lalu merindu terus kekal menapak

Dalam tikus menggali lubang
Daging lembu enak dipanggang
Biarlah yang merindu diriku seorang
Kerna sakitnya bagai dihiris parang

Terkorban pula seekor beruang
Ditikam bangau sedang terbang 
Sayang padamu tak akan hilang
Dan ianya kan terus dikenang

Terkenang kan

Siapa itu soalan lama
Bila ditanya tidak berbicara
Tenang sungguh suasana
Merasa diri ini begitu selesa

Mengimbas kembali kenangan lalu
Teringat diri kisah-kisah dulu
Banyak juga kesilapanku
Dalam berusaha mencari sesuatu

Belajar bila ada peluang
Jangan difikir pasal wang
Kerna ilmu kita mungkin berhutang
Namun ia tidak kan hilang

Dalam belajar tak kira suasana
Jangan dikira rugi sahaja
Tiada istilah senang berjaya
Semua bermula dari bawah juga

Bekerja biarlah ikhlas dari jiwa
Fikiran pastikan positif dari mula
Tunjuk ajar haruslah diterima
Kerna diri tidak kan sempurna

Terus usaha tidak kira masa
Untungnya kan sampai jua
Jangan sesekali lahirkan putus asa
Kerna kita tidak tahu dimana penamatnya