Pages

Saturday, March 24, 2018

Andai Hidup Disini Satu Perlumbaan

Andai hidup disini satu perlumbaan,
Pasti ada yang tewas dalam tangisan,
Lalu jatuh tersungkur hidup dalam buangan,
Ataupun dalam jurang penuh kesengsaraan,
Yang pasti mahu dielakkan...
Andai hidup disini satu perlumbaan,
Yang menang disanjung penuh keceriaan,
Dengan matlamat menghalalkan perbuatan,
Dengan pelbagai kata dan slogan,
Yang akan terus melaungkan penghargaan...
Andai hidup disini satu perlumbaan,
Aku mungkin sudah diambang penyingkiran,
Kerna diri ini tidak sehebat kalian,
Dalam mengatur setiap langkahan,
Biarpun kini mahupun masa hadapan...
Andai hidup disini satu perlumbaan,
Aku rela menjadi penyokong di jalanan,
Biarlah dipandang penuh penghinaan,
Biarlah disapa kata bicara sindiran,
Kerna itu bagiku lebih memudahkan...
Andai hidup disini satu perlumbaan,
Ku kan menyepi di persisiran,
Tidak kan berlari ataupun berjalan,
Tidak cuba mencari apa itu kejuaraan,
Kerna aku hanya seorang insan...
Andai hidup disini satu perlumbaan,
Diri ini tidak lahir untuk ditewaskan,
Cuma mengundur dari yg memenatkan fikiran,
Mencari secebis sinar harapan,
Dengan cara mungkin tidak pernah difikirkan...

No comments:

Post a Comment